Thursday, March 29, 2007

Sah! Kerajaan Tiada Minat Turunkan Harga Petrol

Memetik kenyataan PM Dollah dalam Utusan Malaysia tanggal 27/3/2007, beliau dilaporkan berkata kerajaan belum bercadang untuk mengurangkan harga runcit petrol dan diesel walaupun harga minyak mentah dunia telah menunjukkan penurunan. Ini kerana penurunan harga minyak mentah dunia masih belum benar-benar stabil dan sukar diramal.

Kenaikan harga petrol yang terakhir adalah pada 28hb Februari 2006 yang lalu pada masa ketidak stabilan harga minyak dunia. Pejabat PM dalam kenyataannya tahun lalu memaklumkan penjimatan kos subsidi itu akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan memperbaiki pengangkutan awam.

Dalam ekonomi kapitalis, sangat sukar untuk melihat harga sesuatu barangan itu stabil apatah lagi melibatkan produk petrol yang sangat terdedah kepada turun naik permintaan antarabangsa. Malaysia yang menganut dasar ekonomi terbuka turut merasa tempias ini. Mahu tidak mahu, inilah harga yang perlu kita bayar.

Banyak persoalan yang kita boleh lontarkan kepada PM Dollah: Mengapa pada tahun lalu kerajaan tergesa-gesa mahu menaikkan harga runcit minyak sedangkan mengetahui ia juga masih tidak stabil?

Dan mengapa apabila ianya turun, kerajaan begitu lambat hendak menurunkan sedangkan keadaannya tetap tidak stabil?

Nampaknya kerajaan terus-terusan tidak mahu lagi membuat kebajikan kepada rakyat. Meskipun dengan penemuan kawasan carigali minyak yang baharu beberapa bulan yang lalu, kerajaan masih lagi “buat bodoh” dengan permintaan dan kegelisahan rakyat.

Ini termasuklah perbaziran-perbaziran yang kerajaan lakukan seperti pembelian kapal terbang baru kerajaan, Eye On Malaysia dan lain-lain lagi yang menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

No comments: