Tuesday, May 08, 2007

Garis Panduan Berpakaian - Hanya Sembang!

Pada konsert Akademi Fantasia minggu lalu, seorang artis wanita tanahair menyebutkan kepada satu-satunya pelajar wanita bertudung sebagai, "walaupun you bertudung, tapi you rock!". Ungkapan beliau telah disambut kegirangan sebahagian peminat tetapi mendapat reaksi berbeza masyarakat Malaysia yang rata-rata masih menghargai aspek kesopanan wanita bertudung.

Mengapa bertudung? Tatkala arahan bertudung disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sebaik mendapat wahyu daripada Allah s.w.t, seluruh wanita Islam tatkala itu lekas mencari apa juga kain untuk menutupi bahagian aurat mereka. Itu berlaku hanya selepas beberapa minit arahan tersebut dikeluarkan.

Islam telah mengetengahkan konsep kehormatan kepada wanita apabila menurunkan arahan bertudung kepada seluruh wanita Islam. Dengan bertudung, ia akan membezakan wanita Islam dengan bukan Islam. Lebih jauh daripada itu, ia melindungi kaum wanita daripada pandangan orang-orang yang mungkin berniat jahat. Selain itu, imej bertudung mampu menjaga keperibadian seseorang muslimah dengan rasa malu untuk membuat sesuatu yang mungkin akan menjejaskan keperibadiannya.

Umum telah mengetahui garis panduan berpakaian untuk artis semasa persembahan. Menurut Datuk Dr Mashitah bt Ibrahim, garis panduan itu masih tidak dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat artis. Kita pun tidak pasti mengapa hanya semalam isu ini dibangkitkan sedangkan garis panduan itu telahpun berumur 2 tahun!

Mana-mana pihak pun sebenarnya tidak dapat mengatasi Kerajaan Kelantan dalam penguatkuasaan dan penegasan terhadap penjagaan akhlak dan berpakaian. Kerajaan Kelantan sentiasa mendahului. Malah undang-undangnya pun menyeluruh, bukan sahaja menyentuh kalangan artis. Penguatkuasaan dan ketegasan ini begitu kuat sehingga seseorang yang berpakaian tidak senonoh boleh didenda dengan kadar yang tertentu.

Itulah tegasnya sebuah kerajaan yang mementingkan ketinggian moral, keperibadian dan akhlak rakyatnya. Kerajaan Persekutuan? Tanyalah Datuk Dr Mashitah!

Hannah bt Ahmad
LPHEL DMPP

No comments: