Tiada Pelajar Cemerlang SPM 2006: Kementerian Pelajaran Tidak Profesional
Umum sudah mengetahui adik Fatimah bt Mukhtar dari Maahad Muhammadi Perempuan, Kelantan meraih 17 1A dan 1 2A sekaligus mendepani pelajar yang lain dalam keputusan SPM yang diumumkan semalam. Umum juga mengetahui Maahad Muhammadi Perempuan merupakan salah satu sekolah agama negeri yang tidak lagi diberikan bantuan oleh kerajaan Pusat. Sudahlah bantuan kewangan disekat, bekalan guru juga sudah tidak diberikan lagi.
Dr Lo' Lo' selaku Timbalan Ketua Muslimat PAS dipetik sebagai berkata, "Kita kesal dan malu kerana Kementerian tidak bersikap profesional dalam isu ini. Sepatutnya setiap pelajar tidak kira latar belakangnya perlulah diberikan pengiktirafan dan penghargaan di atas kecemerlangan pelajaran mereka."
Mengapa setiap tahun sebelum ini nama pelajar cemerlang selalu diumumkan, malah ditatang bagai menatang minyak yang penuh namun perkara itu tidak berlaku pada tahun ini dengan alasan mereka yang lain juga cemerlang. Bukankah setiap tahun kita memiliki barisan pelajar yang cemerlang?
"Sebenarnya ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada para pelajar kerana di usia yang muda lagi mereka telah didiskriminasi, padahal mereka diberikan kebebasan untuk membuat pilihan di sekolah mana mereka hendak belajar, " tambah beliau sambil menyifatkan tindakan yang secara tiba-tiba itu sebagai silap mata apabila tidak pernah diumumkan sebelum ini.
Sepatutnya kerajaan pusat sama-sama berbangga kerana berjaya mewujudkan golongan yang berdikari dan boleh berjaya meskipun tidak lagi bergantung kepada kerajaan pusat.
Namun ia tidak berlaku begitu, akibat terdesak kerana bimbang imej sekolah agama, YIK dan Kelantan akan menyinar dan mendapat paparan media yang baik, pengiktirafan itu dinafikan daripada pelajar dan sekolah terbabit.
Dr Lo' Lo' juga menyifatkan adik Fatimah sebagai seorang yang mempunyai hubungan yang cemerlang dengan Allah dan kerana itulah beliau cemerlang di dalam pelajarannya. "Sebagai seorang wanita dan ibu, saya bersyukur dan seronok mendengar berita ini kerana disamping berusaha, beliau juga bertawakal dengan Allah."
Beliau juga menasihati Fatimah supaya bersikap positif dan menganggap semua ini sebagai cabaran untuk lebih berjaya di masa akan datang. "Tiada sesiapa menafikan kecemerlangan beliau, kami semua mengiktiraf kecemerlangan beliau sebagai yang terunggul setakat ini."
Siti Fatimah Mukhtar, 17 yang memperolehi 17 1A dan 1 2A di dalam peperiksaan SPM 2006 yang lalu merupakan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan Kelantan. Maahad Muhammadi Perempuan tersebut merupakan salah sebuah sekolah dibawah seliaan Yayasan Islam Kelantan yang juga dinaungi terus oleh YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment