Monday, March 19, 2007

Rakyat Kelantan Terkilan Dianaktirikan

Sepulangnya saya dari kampong di Pasir Puteh Kelantan, di sana sini orang sibuk bercerita mengenai kehebatan adik Siti Fatimah bt Mukhtar yang memperolehi 18A dalam peperiksaan SPM yang lalu. Saya pun tumpang bangga jugalah lebih-lebih lagi beliau mempunyai pertalian keluarga yang sangat dekat dengan saya.

Disamping bercakap mengenai kecemerlangan beliau, tidak kurang juga yang sangat terkilan kerana Kementerian Pelajaran telah menganaktirikan kejayaan anak Kelantan. Daripada drebar teksi (kereta sewa) hingga ke peniaga restoran, semuanya bercakap dalam nada yang sama. Nampaknya Kelantan hampir pasti tidak akan terpikat dengan parti kerajaan pusat.

Mengikut kebiasaan tahun-tahun sudah, KPM akan mengumumkan Pelajar Terbaik SPM semasa keputusan SPM diumumkan oleh Menterinya. Tahun lalu Amalina (pelajar dari Johor) telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik 2005. Alih-alih, tahun ini Pelajar Terbaik SPM 2006 dikatakan tiada? Pelajar Terbaik STPM 2006 ada pula? Hairan bin ajaib!

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, ini kerana pencapaian mereka semuanya hampir sama. KPM sebaliknya mengumumkan senarai pelajar cemerlang yang diambil daripada pelajar yang memperolehi 1A dalam semua matapelajaran yang diduduki. Malangnya, Siti Fatimah tidak juga tersenarai kerana beliau memiliki 1 pelajaran 2A. Kita juga tertanya-tanya mengapa seorang pelajar dari Maahad Muhammadi Perempuan yang memperolehi 16A1 tidak tersenarai dalam senarai pelajar cemerlang jika mengikutkan kaedah baru tersebut?

Bagaimanapun hal tersebut tidak senada dengan penjelasan Ketua Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan yang mendakwa Siti Fatimah tidak diiktiraf sebagai Pelajar Terbaik kerana beliau daripada Maahad Muhammadi Perempuan yang dikelolakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) (Harian Metro Edisi Timur 14/03/2007). Sedangkan Fatimah dan pelajar-pelajar YIK menduduki silibus dan soalan peperiksaan yang sama disediakan oleh KPM. Tiada bezanya.

Apakah yang menghantui KPM dan UMNO kita pun tidak pasti. Namun sikap takutkan bayang-bayang ini memang telah lama dipraktikkan oleh mereka.

Menterinya pula mengambil pendekatan berdiam diri selepas memarahi media yang kononnya mewar-warkan berkenaan kejayaan adik Nadiah Amirah dari Johor sebagai yang terbaik sehingga dilantik sebagai Duta Akademik GPMS meskipun hanya memperoleh 14A1.

Nadiah Amirah pula diberitakan berkata, "Media yang sibuk-sibuk sangat nak sensasikan pasal saya," ujar beliau semasa ditanya bagaimana beliau boleh terlibat di dalam isu ini. Kelihatan isu pelajar terbaik ini telah dirancang awal lagi apabila media dari awal lagi telah menghalakan lensanya ke Johor supaya orang tak perasan pelajar terbaik adalah daripada Kelantan. Namun bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan tudung saji!

Adik Fatimah ketika ditemubual memaklumkan turut berasa terkilan apabila tidak diumumkan pelajar terbaik bagi seluruh Malaysia, namun berkata, "Apa yang lebih penting, saya sebagai wakil pelajar YIK telah dapat membuktikan kecemerlangan pelajar Islam umumnya." (Wasilah Bil. 7).

Nampaknya rakyat Kelantan tidak kira tua atau muda dan latarbelakang, semuanya telah didiskriminasi. Semuanya mahu dipolitikkan sehingga merosakkan agama dan bangsa sendiri. Sudah-sudah lah tu UMNO!

Hannah LPHEL

No comments: