Menghukum Wanita Pakai Seksi Adalah Wajar
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang kecil menegah wanita berpakaian tidak sopan daripada bekerja di premis perniagaan di kawasan tadbirannya.
Tindakan MPKB mengenakan denda RM500 terhadap wanita yang berpakaian sedemikian, menurut beliau, memang satu tindakan tepat kerana mereka sepatutnya menghormati budaya dan nilai keagamaan yang diamalkan di Kelantan.
"Seseorang wanita yang memakai pakaian tidak senonoh sebenarnya tidak menghormati dirinya sendiri, jadi bagaimanakah orang lelaki akan menghormati mereka?
"Kedudukan moralnya juga nipis. Mengapakah orang menyimpan wang mereka di dalam dompet? Kerana wang adalah sesuatu yang bernilai tinggi, seperti juga maruah wanita. Jadi seseorang wanita sepatutnya berpakaian sopan untuk menjaga maruahnya," kata Nik Aziz.
Menurut laporan mSTAR online, beliau berkata, telah menjadi norma dan sifat semula jadi lelaki akan mudah tergoda apabila melihat wanita berpakaian seksi dan menjolok mata.
"Ini sebenarnya bukan satu undang-undang yang khusus bagi MPKB sahaja. Ia adalah peraturan bertepatan dengan Islam jadi ia tidak patut diperkecil dan dipersoalkan," tegasnya lagi.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis rasmi di Grand Riverview Hotel di sini, Nik Aziz berkata, wanita bebas berpakaian sesuka hati mereka ketika berada di rumah sendiri, tetapi perlu menepati tuntutan Islam agar berpakaian sopan di khalayak ramai.
Katanya, sudah sampai masanya bagi MPKB menguatkuasakan peraturan itu kerana setelah sekian lama menjalankan kempen dan program bagi menyedarkan wanita mengenai perkara itu, masih ramai yang terus berdegil.
Pakaian yang disifatkan tidak sopan dan bertentangan dengan undang-undang kecil MPKB itu termasuk blaus dan seluar ketat, skirt singkat, balus dan baju-T yang menampakkan pusat, seluar jeans yang mendedahkan bahagian atas punggung.
Bagi wanita Islam pula, pakaian mestilah yang menutup aurat dan labuh hingga menutup buku lali dan bertudung.
Selain mendenda wanita yang berpakaian tidak sopan, MPKB juga mengumumkan bahawa majikan mereka juga boleh dikenakan tindakan kerana membenarkan pekerja mereka melanggar kod etika berpakaian, termasuk menarik balik permit perniagaan bagi mereka yang degil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment