Kenaikan Tol: Rakyat digesa berani bersuara |
Sumber: Harakahdaily | |
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Rakyat digesa supaya berani bersuara dan terus membantah di atas atas kenaikan kadar tol dan pelbagai kenaikan barangan serta bahan bakar supaya tidak diperbodohkan dan permainkan oleh kerajaan lagi di masa akan datang.
Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli berkata tindakan kenaikan kadar tol tersebut sangat mengejutkan kerana sebelum ini kerajaan telah berjanji tidak akan membebankan lagi rakyat semenjak kenaikan harga bahan bakar dan menunjukkan bahawa tempoh 'pantang' tersebut telah berakhir apabila sekali lagi kerajaan menginkarinya apabila memasuki tahun baru. "Ternyata dahulu, janji-janji kerajaan hanya kosong dan omongan semata-mata. Itu semua ingin mengabui mata rakyat selama ini. "Setelah rakyat reda dan mendiamkan diri akibat kenaikan bahan bakar, kerajaan kini menaikkan pula kadar tol," katanya. Sikap rakyat katanya, yang tidak berupaya dan mampu membantah secara berterusan serta tidak bersungguh dalam menyuarakan rintihan himpitan hidup, mengakibatkan kerajaan mengambil peluang dan kesempatan untuk 'menindas' rakyat dengan pelbagai alasan ekonomi dan keperluan. "Tunjukkan kuasa dan hak membantah jika tidak mahu dipermainkan oleh kerajaan," katanya. Selain itu katanya keperluan menaikkan kadar tol ini amatlah disangsikan kerana sehingga kini kerajaan masih tidak mendedahkan perjanjian konsesi syarikat dengan kerajaan. "Perjanjian ini masih menjadi rahsia lagi. Ianya perlu didedahkan supaya rakyat semua tahu sama ada kenaikan kadar ini perlu ataupun tidak," katanya. "Nampaknya kerajaan lebih mengutamakan syarikat konsesi berbanding dengan beban rakyat yang ditanggung," katanya. Dalam hal yang berkaitan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid turut kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak mencari jalan alternatif bagi meringankan beban pengguna jalan raya dan rakyat keseluruhannya. "Kerajaan sering menggunakan alasan dan 'lagu' yang sama seperti kerajaan terpaksa menampung pampasan sedangkan butiran perjanjian tidak pernah didedahkan. "Sedangkan rakyat semakin tersepit dan terhimpit bertalu-talu berikutan kenaikan kos yang tak henti-henti semenjak 2005 lagi, dan kini ditambah lagi," katanya lagi. Rakyat katanya dari sudut politik perlu menyatakan bantahan yang berterusan kepada wakil-wakil rakyat di kawasan mereka dan perlu memikirkan untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dalam menyatakan ketidak-puasan hati terhadap tindakan kerajaan. Ini termasuk katanya kakitangan awam dan swasta supaya sentiasa dan berani menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang menghimpit dan menindas supaya di kemudian hari kerajaan perlu berhati-hati dengan apa jua tindakan yang menyusahkan rakyat. "Mulai sekarang, rakyat perlu 'alert' dan jangan naif. Mesti kritikal jika tidak mahu diperkotak-katikkan oleh kerajaan," katanya. Berkuat kuasa 1 Januari 2008, kadar tol di lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang akan dinaikkan antara 20 peratus hingga 60 peratus atau 30 sen hingga RM1. Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya KL-Karak dan Lebuh Raya Koridor Guthrie. Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu dipetik sebagai berkata kenaikan kadar tol tersebut telah termaktub dalam perjanjian konsesi masing-masing. Satu kajian katanya telah diadakan sejak Januari 2005 dan didapati kenaikan tol bagi kelima-lima lebuh raya itu mesti dilaksanakan bagi mengelakkan pembayaran pampasan yang tinggi. “Mengikut perjanjian, sepatutnya tol di LDP dikenakan pada kadar RM2.10 namun keputusan kerajaan hanya membenarkan RM1.60 dan ini bermakna kerajaan terpaksa menanggung sebanyak 50 sen. “Untuk 50 sen itu, pada tahun depan, kerajaan harus membayar sebanyak RM75 juta dan begitu juga tahun seterusnya. Ini bermakna sebanyak RM150 juta harus dibayar dalam masa dua tahun ini dengan satu tahun tambahan konsesi,” katanya. Berikutan kenaikan tersebut, LDP mengalami kenaikan sebanyak 60 peratus , Lebuh Raya Shah Alam (47 peratus), Lebuh Raya Cheras (43 peratus hingga 50 peratus), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (20 peratus hingga 25 peratus) dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (40 peratus). - mks. |
No comments:
Post a Comment