Terima kasih Pak Lah?
Oleh: Hannah LPHEL
Barangkali ketika ini hati yang paling gembira tentulah para isteri dan anak-anak serta kaum keluarga mangsa ISA yang baru dibebaskan semalam. Seluruh umat yang mendoakan turut sama merasa syukur dan gembira buat mangsa dan keluarga. Kezaliman terhadap mereka selama hampir 5 tahun berakhir sudah, meskipun selepas dibebaskan mereka tetap perlu melaporkan diri di balai polis setiap minggu.
Di antara mangsa yang dibebaskan itu termasuklah anakanda Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Ternyata, kesabaran beliau tanpa perlu mengorbankan prinsip perjuangan dan agama dibalas dengan pembebasan ini, dan ia berlaku pada bulan yang mulia Ramadhan. Nik Adli tiba di perkarangan rumahnya sejam sebelum berbuka. Alhamdulillah tentu semalam hari paling indah buat beliau dan keluarga.
Kita diberitahu bahawa Perdana Menteri adalah orang yang bertanggungjawab menandatangani surat pembebasan tahanan tersebut. Di sini membuatkan rasa keliru yang amat. Perlukah berterima kasih atas pembebasan? Jika perlu mengapa?
Sehingga saat ini tiada pendakwaan pernah dibuat ke atas Nik Adli dan rakan-rakan. Bawa ke mahkamah pun tidak pernah. Apa yang pernah berlaku adalah penambahan demi penambahan masa tahanan sehingga 5 tahun akhirnya! Apakah ini adil? Menahan seseorang tanpa bicara dan sehingga akhir pun tiada apa-apa!
Mungkin bagi PM ini perkara kecil baginya. Tapi kezaliman yang beliau lakukan tentu akan terpahat di sanubari mangsa dan keluarga, juga seluruh umat yang menyaksikan sandiwara ini. 5 tahun tanpa ayah, 5 tahun tanpa suami, pernahkah sesiapa fikirkan penderitaan mereka. Malahan media memencilkan isu ini kerana lebih mengagungkan kehidupan para artis.
Namun selagi adanya ISA di dalam kanun negara, selagi itu perjuangan menuntut pemansuhannya tidak akan berakhir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment