Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali mengingatkan umat Islam terutama muslimat supaya menghidupkan malam 10 terakhir Ramadan seolah-olah tidak akan bertemu dengan Ramadan akan datang. Malangnya, menurut beliau, 10 terakhir Ramadan itulah umat Islam terutama muslimat mula sibuk untuk membuat persediaan hari raya seperti menjahit baju baru dan membikin kuih. "Saya harap persediaan hari raya itu perlu dibuat lebih awal supaya tidak menganggu penumpuan kita terhadap malam 10 hari terakhir Ramadan," katanya. Beliau berkata, malam 10 terakhir itulah berkemungkinan akan bertemu dengan Lailatulqadar dan sepatutnya umat Islam perlu berlumba-lumba untuk menerima tawaran tersebut. "Ramadan ibarat datangnya dinanti perginya ditangisi jadi apa yang telah kita lakukan sepanjang sebulan berpuasa, setiap tahun mesti ada perubahan dari segi amal ibadat," katanya. Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, satu sunnah yang perlu dilakukan ialah iktikaf di masjid di mana perkara itu kurang dilaksanakan kerana banyak masjid dikunci atas keselamatan. Berhubung dengan solat tarawih katanya, menjelang 10 malam terakhir Ramadan banyak masjid dan surau yang sudah kurang jemaah tidak seperti pada awal Ramadan. "Sama-samalah kita meraikan malam terakhir dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadat dan buatlah persediaan ala kadar untuk hari raya kerana kita tidak tahu apakah kita akan bertemu di Ramadan akan datang," katanya. - lanh |
No comments:
Post a Comment