Dari Lubnan: 'Israel bunuh janinku' rahim
Harian Metro 10-8-2006
KEZALIMAN Israel terhadap orang awam Lubnan terserlah lagi. Selepas pembunuhan di Qana, selatan Beirut dua minggu lalu, ibu kota Lubnan kini menyaksikan pembunuhan kejam orang ramai di Chiah, hanya kira-kira empat kilometer dari pusat bandar. Selepas kerja menyelamat berakhir semalam, angka korban dalam serangan malam Isnin di Chiah, sudah meningkat kepada 35 dengan kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.
Seramai 75 orang cedera dalam serangan jet pejuang Israel itu yang melancarkan peluru berpandu terhadap sebuah bangunan pangsapuri 10 tingkat. Walaupun pembunuhan kejam di Chiah itu tidak mendapat perhatian media asing seperti di Qana yang mengorbankan kira-kira 37 kanak-kanak, kerajaan Lubnan menganggapnya sebagai bukti Israel mensasarkan orang awam.
Ketua Protokol Kementerian Luar Lubnan, Mustapha Mustapha, berkata ia satu daripada banyak lagi pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Israel dalam konflik yang sudah berlarutan hampir sebulan itu. Antara yang cedera di Chiah adalah seorang wanita 42 tahun yang mengandung anak pertama selepas 17 tahun berkahwin.
Namun, kandungan kembarnya yang berusia 26 hari tidak dapat diselamatkan kerana wanita itu cedera teruk di perut. Ketika ditemui di Hospital Alhayat di Chiah semalam, Inaam Noureldine, 42, hanya mampu berkata Israel kejam, sebelum tidak dapat menahan sebaknya. Suaminya, Ismail Alakharas, 42, berkata dia bersama isteri berada di rumah ketika kejadian dan tanpa sebarang amaran, letupan kuat kedengaran sebelum rumahnya runtuh.
"Kenapa Israel membunuh orang tak bersalah. Bukan hanya kanak-kanak dan wanita, budak yang yang belum sempat lahir juga dibunuhnya," kata beliau.Ismail berkata, malang yang menimpanya menunjukkan Israel membohongi dunia, bahawa ia bertindak hanya sebagai mempertahankan diri. "Mereka sebenarnya menyerang oang yang tidak bersalah di Lubnan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment