Thursday, August 10, 2006

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dapat saya berkarya semula selepas musim bulan madu saya yang hampir 4 bulan itu. Terima kasih banyak-banyak kepada teman-teman yang banyak memberikan semangat dan memahami keadaan saya di kala itu. Semenjak sebulan yang lepas saya selalu berkira-kira bilakah masanya saya dapat menulis semula. 2 hari yang lepas, suami saya pula bertanya dan memberikan perangsang untuk saya menulis kembali.

Boleh dikatakan semenjak kebelakangan ini banyak isu yang menggugat ketenteraman ummah telah diperkatakan. Isu seperti serangan Israel ke atas Beirut, isu rayuan kes Lina Joy, isu kenaikan harga minyak/barang dan kejadian rogol dan bunuh yang dilaporkan berlaku setiap hari sebenarnya menuntut rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengambil tahu dan menghulurkan bantuan dimana-mana yang mampu.


Apa yang saya perhatikan, bagaimanapun isu-isu seperti itu sangat kurang diambil perhatian. Di pejabat kurang disebut, di warung kurang dijadikan bahan sembang dan dimana-mana saja ia kurang menjadi bahan bualan. Mengapa?

Tidak kita nafikan media ada juga menyelitkan berita-berita tersebut. Tidak kurang ada juga yang menjadikan ia sebagai berita utama dalam akhbar atau media masing-masing. Namun ia masih kurang…

Sebagai salah seorang warga masyarakat, saya dapat menghidu isu paling hebat dan hangat diperkatakan oleh warga Malaysia. Isu Mawi putus tunang dan isu perkahwinan gilang gemilang Siti – Datuk K. Keghairahan mengambil tahu mengapa, konsep perkahwinan, perbelanjaan dan lain-lain melebihi keghairahan mereka mengambil tahu isu yang secara terang mengenai tepat kepada diri anggota masyarakat.

Fokus isu yang kerapkali ditayangkan pula bukanlah sangat terhadap isu ummah, bahkan kepada program hiburan, malah perkahwinan seorang artis yang kononnya Diva ditonjolkan melebihi siaran program hari raya!

Masyarakat Malaysia telah terlalu lama dihidangkan dan dibuai dengan hiburan. Dibuai sehingga mamai jadinya! Mamai meskipun isu yang menyergah adalah isu-isu yang mengenai diri mereka sendiri. Pelik tetapi inilah warga Malaysia.

Usaha keras pelbagai pihak untuk menyalurkan maklumat melalui media alternative sangat dialu-alukan. Keprihatinan masyarakat Malaysia terutama dalam kes Lina Joy vs Kerajaan Malaysia sangat memberikan isyarat positif bahawa rakyat Malaysia sebenarnya mampu untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Disamping itu usaha harus dilipatgandakan supaya akta draconian yang membatasi media massa di Malaysia ini dimansuhkan selain memberikan kesedaran kepada masyarakat Malaysia hak-hak mereka dan kepentingan mematuhi demokrasi.

Anggota media pula seharusnya menjadi lebih bertanggungjawab terhadap perkara yang mereka dilaporkan. Ini kerana media (termasuk tv, radio, suratkhabar atau majalah) akan membentuk pemikiran masyarakat tanpa disedari. Melaporkan berita dengan hanya mengambilkira keuntungan fizikal yang bakal diperoleh hanya akan merosakkan masyarakat dalam jangka masa panjang. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab terhadap ugama dan negara?

No comments: