Tuesday, May 22, 2007

Hanya Sebahagian Rakyat Malaysia Di Ambil Berat
Saya mengucapkan tahniah kepada 1.2 juta (termasuk pesara) kakitangan awam di negara ini yang telah diumumkan kenaikan penyelarasan gaji mereka berkuat kuasa Julai 2007. Kenaikan itu yang di antara 7.5% hingga 35% tentulah memberikan nafas lega kepada semua kakitangan awam yang terlibat.
Namun begitu, mari kita soroti surat pembaca yang dikutip daripada Utusan Malaysia tidak lama dulu.
Gaji sektor swasta perlukan pembelaan kerajaan
KENAIKAN gaji sektor awam yang dicadangkan CUEPACS antara 10 hingga 40 peratus untuk semua 1.2 juta kakitangan awam perlu dihalusi lagi. Perbelanjaan untuk pelarasan semula gaji amat tinggi. Kerajaan sepatutnya membelanjakan untuk kebaikan keseluruhan rakyat bukan hanya untuk sektor awam sahaja.
Jika dibandingkan di sektor awam dan swasta, sektor awam mendapat banyak kelebihan daripada kerajaan berbanding swasta, sedangkan kerajaan mesti bertanggungjawab kepada keseluruhan rakyat Malaysia. Sebagai contoh saya ingin membuat perbandingan pendapatan peringkat rendah antara sektor awam dan swasta. Bagi sektor awam gaji minimum sekarang ialah lebih kurang RM600 dan dicampur elaun akan menjadi RM1,000 lebih.
Jika dibandingkan sektor swasta terutama kilang pula, gaji minimum yang diterima oleh pekerja biasa (operator pengeluaran) adalah RM250 hingga RM400 mengikut negeri. Jika dicampur dengan elaun-elaun lain mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM300 hingga RM500 sahaja. Maka kita dapat membandingkan perbezaan pendapatan antara kedua-dua sektor.
Sekiranya kerajaan meluluskan kenaikan gaji bagi sektor awam, akan berlaku jurang perbezaan pendapatan bagi rakyat berpendapatan rendah antara kedua-dua sektor yang tidak seimbang. Kerajaan perlu melihat kesusahan yang dialami pekerja bawahan sektor swasta juga, ini kerana mereka juga rakyat Malaysia. Bukan mereka tidak mahu berkhidmat dengan sektor awam, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
Jika kita lihat dari segi yang lain pula, contohnya pinjaman perumahan, sektor awam boleh meminjam daripada kerajaan dengan hanya membayar kadar faedah empat peratus berbanding swasta enam hingga lapan peratus mengikut BLR. Oleh itu saya cadangkan kerajaan perlu bersikap lebih adil dalam membuat keputusan supaya nasib rakyat terbela dan sama rata.
– OPERATOR KILANG, Pulau Pinang.
Selain daripada sektor kerajaan, rakyat di negara ini turut bekerja di bidang swasta (dalam pelbagai bidang) dan sektor pertanian. Selalu di perhatikan, setiap kali Belanjawan Tahunan, hanya sektor kerajaan mendapat pembelaan sebaliknya rakyat yang berada di luar lingkungan tersebut terus di anaktirikan dengan alasan mereka tidak tertakluk di dalam tanggungan kerajaan.
Jika benar mereka berada di luar tanggungjawab kerajaan;
1. Mengapa mereka di berikan kad pengenalan yang sama dengan kakitangan awam?
2. Mengapa mereka di minta membayar pelbagai cukai yang sama dengan kakitangan awam?
Seharusnya kerajaan mengambil inisiatif untuk memandu arah para majikan tentang nasib pekerja bukan kerajaan. Syarikat-syarikat ini memang diberikan hak sepenuhnya untuk menggerakkan syarikat masing-masing, tetapi mereka tentu masih tertakluk kepada syarat dan kuasa kerajaan. Ya, sesetengah pekerja (mungkin pemilik atau pegawai kanan) swasta bergaji besar, tetapi itu hanya sebahagian kecil mereka. Sebahagian besar daripada mereka masih bergaji kecil dan sederhana yang mana cukup-cukup makan saja!
Ada juga syarikat yang tidak berperanan dalam mengambil tahu aspek kesihatan pekerja. Contohnya ada syarikat yang hanya menanggung kesihatan pekerja dalam semua hal kecuali dalam hal mengandung dan melahirkan. Sudahnya seseorang pekerja wanita terpaksa berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan untuk mengandung. Hanya syarikat-syarikat besar saja (yang tidak banyak bilangannya) ada mengambil kira faktor ini.
Syarikat swasta harus digalakkan untuk mengambil kira kepentingan dan kebajikan pekerja mereka daripada hanya menekan tenaga mereka untuk bekerja dan mengetepikan aspek manusiawi. Dan siapakah yang seharusnya mengambil peranan itu?
InsyaAllah DMPP berpandangan swasta harus digalakkan dengan pemberian insentif tertentu bagi memberikan sedikit keselesaan kepada sebahagian rakyat yang terus dipinggirkan ini.
Hannah Hj Ahmad
LPHEL DMPP

No comments: