Monday, March 06, 2006

Bapak dah tak mampu bagi kau subsidi...

Usai saya menatap berita di TV3(suku) semalam, saya berasakan bahawa tanggungjawab kerajaan memang benar-benar telah dikembalikan kepada rakyat melalui projek penswastaan yang mula-mula diperkenalan tahun 80an dahulu. Ketika mula-mula diperkenalkan dengan konsep penswastaan di bangku sekolah dahulu, tiada yang negatif pada pandangan saya. Cuma apabila telah telah mampu berfikir sendiri, sebenarnya dasar ini meskipun pada pandangan zahirnya nampak cukup elok, tetapi dari segi batinnya, ia banyak menyusahkan rakyat.

Barisan kabinet BN bukanlah sangat orang-orang yang benar-benar faham tentang undang-undang. Di dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir yang lalu contohnya, perkara tentang meletakkan jawatan tanpa alasan pun mereka tidak tahu! Perkara tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat sememangnya telah dilindungi oleh Perlembagaan Malaysia yang berkiblatkan undang-undang penjajah itu. Kerajaan mesti menyediakan segala keperluan rakyat: air, elektrik, petrol, pendidikan, kesihatan dan macam-macam lagi.

Tidaklah disebutkan di dalam Perlembagaan tentang bagaimana tanggungjawab itu perlu dilaksanakan, namun yang pasti seperti seorang bapa, segala keperluan ahli keluarga wajib dilaksanakannya. Cuba bayangkan senario ini:

Bapa: Ali, susu yang kau minum ni dah naik harga. Bapak kena tambah sikit subsidi kat kau ni, kalau dulu kau kena bayar RM1.50, sekarang kau kena bayar RM2 kat bapak. Bapak bayar selebihnya untuk kau, RM15 tau! Kalau bapak tak bagi subsidi, kau kena bayar sendiri RM17.

Si anak yang memang lemah dan tidak berdaya, cuma terkebil-kebil kebingungan. Bapakkah ini? Bapak masih boleh maintain kereta mewah 3 biji, masih pakai blazer yang mahal-mahal, masih makan di restoran mewah, masih shopping di Eropah (tak mainlah di KLCC, jauh sekali nak bersesak-sesak di dalam Mega Sale) tapi bapak berkira terhadap tanggungjawab bapak sendiri?

Begitulah ibarat yang saya boleh fikirkan. Mungkin sedikit berbeza dengan keadaan hubungan kerajaan-rakyat, namun takrifan tanggungjawab dan bagaimana ia dilaksanakan tentulah tidak jauh berbeza. Kini, rakyatlah yang menanggung segala-galanya. Untuk menyelamatkan TNB yang kurang untungnya tahun ini, tarif elektrik bakal naik lagi tahun ini. Begitu juga air, busuk atau tidak, air ada atau tidak, rakyatlah yang mengeluarkan wang sendiri demi mendapat bekalan tersebut. Kini, petrol pula. Dengan alasan RM4.4 bilion akan digunakan untuk kemudahan pengangkutan, rakyat lagi diminta berkorban untuk setiap liter petrol dan diesel yang digunakan.

Saya pasti keadaan sosial negara bakal bertambah parah lagi selepas ini. Yang miskin akan bertambah miskin: masih ada yang hidup berharapkan ihsan orang, masih ada yang kais pagi makan pagi hatta masih ada yang terpaksa berlapar akibat tiada apa hendak dimakan. Itu keadaan orang miskin. Keadaan mereka yang bekerja pula mungkin akan makin tertekan. Mereka terpaksa membuat 2 pekerjaan untuk menampung kos hidup. Akibatnya keluarga entah ke mana, anak-anak kurang perhatian dan kasih sayang... selebihnya sukar saya hendak tuliskan disini... sangat luas akibatnya apabila pertimbangan tidak didasarkan kepada petunjuk agama sendiri.

Rakyat diminta berjimat cermat, malah rakyat juga diajar pemanduan berhemah untuk menjimatkan penggunaan, tapi semua itu tidak cukup. Petrol merupakan bahan makro, bila ia naik, maka yang lain-lain bakal naik. Takkanlah beras dari Kedah ke KL hendak diangkut dengan basikal? Maka saya tidak pelik dengan kenyataan Najib malam tadi, "kerajaan jamin tiada yang akan dinaikkan sewenang-wenangnya kecuali dengan alasan yang kukuh." Mula-mula dengar legalah juga, tapi "kecuali dengan alasan yang kukuh" tu memang berdebarlah juga. Bukankah kenaikan petrol merupakan alasan yang kukuh? Kalau tidak, takkanlah kenaikan tarif TNB dibenarkan?

Saya fikir, pembangunan yang dinikmati sebahagian kecil rakyat negara ini adalah daripada air mata rakyat keseluruhannya. Rakyat disuruh membayar untuk mendapatkan kebanyakan keperluan, dimarah dan dihina apabila gagal membangunkan diri sendiri di tengah-tengah kesusahan, oh macam-macam lagi. Namun, kerajaan terus-terusan menyatakan kerajaan bertanggungjawab dan sebab itulah masih terus menyediakan subsidi tersebut (Utusan Malaysia, 6hb Mac 2006). Tidak tahukah kerajaan bahawa sedekah adalah berbeza dengan tanggungjawab?

Kita ditahun 2006, jauh lagi pilihanraya umum akan diadakan. Dan sehingga itu, rakyat mungkin akan lupa lagi tentang betapa robeknya hidup rakyat dibuat oleh Kerajaan BN ini. Namun, sebagai manusia biasa, siapalah yang tidak mempunyai harapan? Hidayah tetap milik Allah, tugas saya ialah sama-sama mengingatkan biarpun terpaksa ratusan kali bercakap perkara yang sama!

Hannah LPHEL DMPP

No comments: