Tuesday, March 28, 2006

Tudung: PAS sudah tidak keseorangan

Saya ternanti-nanti masa yang terbaik untuk mengulas perkara ini. Selain menanti buah butir yang akan disebut oleh PM, saya merasakan ada sesuatu hasil baik dari perjuangan PAS yang mula-mula diterokai sekitar tahun 1950an dahulu.

PAS dahulu sehingga sekarang sentiasa komited dan istimrol (berterusan) dalam menyuarakan pandangannya tentang perlunya seluruh ruang lingkup kehidupan manusia ini berteraskan kepada agama Islam. Islam mengandungi asas-asas dan petunjuk untuk manusia menjalani hidupnya di dunia ini dengan selamat. Rasionalnya seperti ini: perkakasan seperti komputer tentu datang dengan manual penggunanya. Cara-cara pengendalian, perkara yang perlu dielakkan dsb. Jika salah digunakan, tidak mengikut spesifikasi, maka padahlah jadinya. Maka atas dasar ini jugalah saya kira pencipta manusia ini mendatangkan manual pengguna kepada kita kira-kira 1400 tahun lampau. Itulah Al-Quran yang selalu kebanyakan daripada kita buat endah tidak endah.

Isu tudung bukanlah perkara baru pada hari ini. Pada tahun-tahun 1980an lebih teruk keadaannya tentang wanita bertudung. Mereka dipandang rendah dan ramai juga yang sukar bekerja dan diterima bekerja kerana bertudung. Namun sikap tegas pendirian oleh wnaita-wanita Islam pada masa itu membolehkan wanita kita hari ini tenteram dalam melaksanakan tuntutan agama.

Sama sahaja dalam isu minyak, PAS yang dipersalahkan. Dalam soal tudung ketika itu, PAS juga yang disalahkan kononnya mempolitikkan hukum wajib itu. Namun kini, perjuangan bagi membolehkan wanita-wanita bertudung sudah bukan sahaja datangnya daripada suara PAS.

Ia datangnya daripada dalaman kerajaan sendiri. Siapa sangka sebuah sekolah di Pulau Pinang (SMK Abdullah Munsyi) boleh menarik balik penglibatannya dalam sebuah pertandingan sukan hanya kerana pemainnya buka tudung semasa bermain? Juga siapa sangka seorang Ketua Polis Negara boleh mewajibkan pemakaian tudung dikalangan anggota polis di masa keraian rasmi? Memang ini nikmat Allah s.w.t, dalam kalah, Islam menang juga. Walaupun tindakan-tindakan itu tidaklah memberi impak yang besar, namun benda kecil akan menjadi besar, bukan?

Kadangkala kita tidak nampak perkara-perkara seperti ini. PAS sudah tidak perlu bersuara berseorangan lagi untuk mengetengahkan isu-isu ini. Kefahaman dan ilmu yang dimiliki yang disebarkan oleh ulama'-ulama' yang ikhlas dengan agamanya telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan. Mudah-mudahan ilmuwan agama dan pejuang agama yang ikhlas ini tidak jemu-jemu menyebarkan ilmu.

Juga mudah-mudahan dalam perkara lain juga rakyat akan beroleh kefahaman yang persis bagi kesejahteraan hidup berteraskan iman.

Hannah LPHEL DMPP

No comments: