Pulang daripada perhimpunan aman membantah perang Iraq di hadapan pejabat Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak semalam, seperti biasa akhbar tempatan akan menjadi sasaran bacaan saya di hujung minggu. Entah mengapa, tiada apa yang menarik, semuanya isu sama. Basi? Mungkin, tapi cukup mudah untuk dihangatkan dan didiamkan kemudiannya. Isu minyak ini diharapnya dapatlah bertahan lama sedikit, setidak-tidaknya sehingga berjaya menekan kerajaan untuk menurunkan harga minyak supaya mengurangkan tekanan rakyat.
Namun, ada sekeping gambar yang menarik perhatian saya. Di Berita Harian ia terpampang di muka hadapan, begitu juga di NST dan The Star. Di Utusan Malaysia tiada nampaknya. Pelik. Jarang sekali UM tidak menempatkan berita sebegitu. Gambar itu memuatkan wajah 3 wanita ternama Malaysia, Puan Nori Abdullah, Datin Paduka Marina Mahathir dan Hanis Hussein. Ketiga-tiga mereka adalah anak-anak pemimpin (dan bekas pemimpin) nombor 1 negara. Masing-masing dalam nada yang sangat prihatin tentang nasib wanita di Malaysia, terlalu bimbang wanita gagal mempertahankan hak masing-masing.
Mereka begitu mungkin kerana tidak faham apa yang terkandung di dalam pindaan rang undang-undang yang dicadangkan itu. Jika Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil pun sudah faham dan meminta wanita Malaysia menerimanya, saya tidak nampak mengapa sukarnya ketiga-tiga mereka turut sama menyokongnya. Namun disini tidaklah saya ingin mengulas mahupun menjelaskan perihal pindaan itu kerana ia diluar bidang saya, namun keadaan masakini menyebabkan saya teringat kepada kisah yang berlaku pada 1927 tahun lalu.
Ia berkisar tentang tuntutan harta sepencarian. Dipendekkan cerita, si suami yang telah menambah cawangan itu telah meninggal dunia tidak lama selepas berkahwin baru. Apabila telah meninggal dunia, tibalah masanya hendak membahagikan harta pusaka si suami. Namun, isteri pertamanya yang boleh saya katakan bijak, telah membuat tuntutan di mahkamah supaya mahkamah membahagikan terlebih dahulu harta sepencarian diantaranya dengan suami sebelum membuat pembahagian harta pusaka. Hujah beliau sangat bijak termasuk kebolehan beliau merujuk kepada kitab-kitab lama yang membuatkan hakim dan peguam (pada masa itu Orang putih) terdiam. Beliau menang kes itu, namun apabila isteri kedua memfailkan rayuan, kes itu memihak kepada isteri kedua (iaitu harta dibahagikan tanpa menolak harta sepencarian terlebih dahulu).
Jika ditanya kebanyakan wanita di negara ini, tidak ramai yang benar-benar tahu hak-hak mereka. Tapi kisah tahun 1927 itu membuatkan saya terfikir, wanita dahulu kala lebih terkehadapan dalam hak mereka yang diperuntukkan oleh agama. Bukan itu sahaja, mereka berjuang pula untuk mendapatkannya. Di mana agaknya wanita Malaysia di dalam hal ini? Kebanyakan daripada wanita Malaysia mungkin tidak sanggup memperjuangkan haknya atas dasar ingin menjaga kedamaian rumahtangga.
Namun, kisah ini telah menjadi titik tolak perkanunan harta sepencarian di dalam perundangan syariah di negara ini. Ini bagi kepentingan wanita di Malaysia bagi memberi pengiktirafan dan perlindungan terhadap wanita. Manakala di dalam cadangan Rang Undang-undang Keluarga (Wilayah Persekutuan) itu cuma terdapat kesilapan teknikal sahaja (dari segi penggunaan perkataan dan, atau dan simbol bahasa). Ia cuma masalah kecil! Perkara besar yang cuba dicadangkan pula kebanyakaannya adalah memberi perlindungan kepada wanita. Kalau Marina, Nori dan Hanis tidak percaya, tanyalah Shahrizat!
Lagipula, bukankah mengetatkan pemberian kebenaran suami berkahwin lagi juga adalah di antara tuntutan SIS? Inilah yang cuba dilaksanakan oleh pindaan undang-undang ini. Dah minta, nak tolak pula... pelik pelik.
Namun begitu, suka juga saya ingatkan kepada SIS dan wanita-wanita ternama itu untuk tidak hanya fokus kepada masalah poligami-monogami ini. Apalah sangat isu ini sedangkan wanita di Malaysia menghadapi masalah yang lebih besar dan getir daripada itu. Tidak percaya? Mari lihat senarai dibawah:
1. Masalah lebih 70% wanita yang berkelayakan di negara ini yang masih menganggur akibat ekonomi Malaysia yang stabil tapi masih meningkatkan jumlah penganggur.
2. Masalah wanita Malaysia yang terlibat dalam gejala negatif yang semakin bertambah dari sehari ke sehari.
3. Masalah wanita Malaysia yang dimalukan oleh seorang menteri kabinet melalui media asing sangat gemar kepada lelaki Bangladesh. Imej wanita Malaysia telah tercemar tanpa dibersihkan oleh mana-mana menteri kabinet sedangkan statistik wanita Malaysia yang mengahwini lelaki Bangladesh pun tidak pernah dikeluarkan sebagai menyokong tuduhan.
4. Masalah salah faham tentang prinsip pemakaian tudung di dalam Islam. Walaupun kebanyakan daripada ahli-ahli SIS tidak mengamalkan pemakaian tudung, namun prinsip Islam bahawa memakai tudung itu adalah wajib perlulah diterima dengan baik. Janganlah SIS hanya menerima konsep berlaku adil dengan isteri sahaja dan meninggalkan saranan dan larangan agama yang lain! Berlaku adillah kepada Islam.
5. 70% wanita Malaysia memilih untuk tidak berkahwin berdasarkan kajian Universiti Malaya baru-baru ini. Bagi sesetengah orang mungkin ini bukan isu besar, namun ia akan memberi petunjuk kepada bilangan penduduk dan isi rumah negara ini 10-20 tahun akan datang. Mungkin penduduk Malaysia akan menguncup? Adakah keadaan ini akan memberikan kebaikan kepada negara? Agak-agaknya selepas beberapa tahun mungkinkah tiada langsung generasi daripada Malaysia? Baru-baru ini sebuah negara di Asia Timur telah meminda polisinya, untuk tidak menghadkan bilangan anak bagi sesebuah isi rumah akibat daripada penguncupan bilangan rakyatnya setelah polisi seorang anak bagi setiap pasangan dilaksanakannya sejak bertahun-tahun yang lalu.
Senarai diatas adalah isu terkini yang hangat masakini. Namun, banyak lagi isu umat Islam yang sewajarnya diperhatikan dan diketengahkan oleh SIS dan umat Islam secara keseluruhannya. Nasihat saya: cukup-cukuplah menyibuk dalam isu yang remeh dan bukan bidangmu dan cubalah berlaku adil terhadap agama anutanmu sendiri. Jika anda boleh menghormati pandangan seorang doktor terhadap penyakit yang anda deritai, begitu jugalah hormatilah pandangan ilmuwan agama dalam isu berkaitan. Usahlah pandai-pandai dan rasa pandai sangat!
Hannah LPHEL DMPP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment