Tuesday, February 14, 2006

Ginilah dok bawah...

Sedang saya bersiap-siap hendak ke pejabat pagi ini, ibu saya yang sedang menonton MHI yang pada ketika itu menyiarkan berita tentang banjir bersuara kepada saya.

Mama: Kenapa Harakah tak pegi ambil gambar di tempat banjir depan rumah kita tu?

Hannah: Kenapa pula nak ambil?

Mama: Yelah, masa di Pengkalan Pasir itu hari sibuk mengata banjir sebab PAS memerintah. Ini di KL yang canggih ni, hujan sikit je dah banjir!

Saya ketawa mendengarnya, logik juga pandangannya. Bayangkan banjir beberapa hari di Kelantan tentulah boleh bah, di KL kalau hujan 3-4 jam tanpa henti sudah kena banjir di merata-rata tempat. Masih teringat saya akan satu banner di Pengkalan Pasir baru-baru ini yang dipasang betul-betul diatas satu takungan air (akibat banjir) yang berbunyi, "GINILAH DOK BAWAH PAS...".

Mutakhir ini berita tentang banjir ini menjadi berita fokus dalam hampir semua media. Paling teruk terjejas di Pahang (kini sudah surut), Terengganu dan Sarawak. Kelantan tidak terkecuali. Di Terengganu teruknya banjir sehingga meranapkan sebuah jambatan di Hulu Terengganu. Malah diberitakan, jika Tasik Kenyir melimpah, banjir besar boleh berlaku sehingga ke Kuala Terengganu! Bayangkan dasyatnya. Di Pahang telah meragut 1 nyawa di hari pertama banjir melanda.

Sesungguhnya hujan merupakan sebahagian daripada nikmat Allah. Bayangkan jika tiada hujan, boleh jadi kemarau, kebuluran dan lain-lain lagi. Namun apabila berlaku banjir, ia selalunya dikaitkan dengan bala. Kita tentu ingat banjir paling besar berlaku di zaman Nabi Nuh a.s sehingga menenggelamkan seluruh dunia dan hanya 70 orang beriman sahaja terselamat.

Namun jarang sekali isu ini dilihat untuk membawa keinsafan. Sebaliknya isu banjir dipolitikkan seolah-oleh di negeri-negeri lain tidak pernah berlaku banjir! Faktor geografi turut mengundang perkara ini: faktor tanah yang mudah menakung air, faktor pertukaran cuaca, faktor angin monsun dan faktor penghadang angin. Semua ini ciptaan Allah belaka, namun kerana nafsu isu ini telah dipolitikkan.

Bagi kita, banjir tetap akan berlaku dimana-mana,hatta di tempat paling canggih sistem perparitannya sekali pun. Sudah sunnatullah dan hakikat alam kejadian ciptaan Allah.

Hannah (LPHEL)

No comments: