Monday, August 14, 2006

Gubra - Filem yang menunjukkan manifestasi kehidupan yang jauh daripada agama serta menzahirkan persendaan kepada agama dan syariat dengan harapan wujudlah kebencian kepada agama.
Sharifah Amani, Pelakon Wanita Terbaik yang masih muda remaja itu, semasa ucapannya setelah memenangi anugerah tersebut dalam siaran live Festival Filem Malaysia 19 malam tadi mengungkapkan dia akhir ucapan tersebut: "If films (lakonannya didalam Gubra yang dikritik hebat) mencemarkan budaya, lets do it more often!!!"Sekali imbas, mudah mentafsir kata kata sebegini.
Tafsiran pertama, ini Amani ingin mengisytiharkan bahawa filem seperti ini tidak ada salah dan silapnya. Adegan penuh kontroversi dan dipenuhi mesej penghinaan dan sindiran kepada Islam itu tidak ada salah dan silap pada pertimbangannya.
Mungkin padanya, plot-plot kelucahan dan penghinaan itu adalah satu kebiasaan kepada kehidupan orang sepertinya. Gubra hanya menzahirkan apa yang sememangnya menjadi rutin sebahagian ummat Melayu di negara ini.
Tafsiran kedua, dalam diri Amani, dia ingin menzahirkan kebenciannya kepada agama dan budaya yang sepatutnya menjadi pegangan hidupnya. Lantas mulutnya mengungkap kata-kata sebegitu. Frasa Lets do it more often (mari kita lakukannya dengan lebih kerap), menggambarkan cabaran Amani kepada sesiapa yang menggunakan lunas agama dan budaya untuk menilai filem yang dilakonkannya, bahawa dia tidak akan berhenti daripada melakonkan filem sebegini.
Dengan lunak wajah yang menggambarkan kebencian semasa mengucapkan frasa itu, mudah memahami apa yang terbuku di hati Amani. Mungkin jua emosi kemenangan anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM19 membuatkan dia merasakan bahawa pengiktirafan yang diberikan kepadanya itu menambah lagi kekuatannya untuk mencabar norma agama dan budaya yang sepatutnya dimiliki oleh gadis ayu yang berpakaian kemban ekslusif, yang ditutupi kain lutsinar di bahagian atas dada pada malam berprestij itu.
Tidak hairan jugalah, Amani didalam program In Person terbitan ASTRO sedikit masa dahulu, apabila ditanya oleh wartawan hiburan pada program tersebut tentang tidak teringinkah beliau untuk kembali memakai tudung (apabila ditunjukkan gambar semasa sekolah dahulu Amani pernah bertudung), Amani menjawab " Apabila saya sampai masanya nanti, saya akan bertudung. Saya belum terfikir lagi untuk memakai tudung. Tak guna bertudung kalau hati kita tidak baik".
Sungguh besar dan buruk kesannya kepada anak anak muda perempuan Islam yang mendengar jawapan seperti ini daripada Amani. Benar, Amani menjadi ikon kepada mereka kerana popularitinya di usia yang masih muda. Tentunya anak anak perempuan Islam ini, jika tidak mempunyai kefahaman Islam tentang syariat memakai tudung yang menutupi aurat mereka, akan mengikuti pandangan Amani ini.
Impaknya, tentu sahaja kita boleh mendengar dialog sebegini pula selepas ini dikalangan remaja Islam:"Biarlah dahulu, apabila sampai masanya nanti aku akan bertudung", " Hati tak baik tak guna bertudung" , "Nanti la...saya masih belum terfikir lagi untuk bertudung".
Sharifah Amani, Yasmin dan Gubra adalah sebahagian daripada manifestasi sekularisme dan gaya hidup barat yang dizahirkan oleh mereka sendiri. Tugas kita untuk membetulkan mereka dan membawa mereka kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar. Adakan usaha daripada pertubuhan dakwah untuk mendekati golongan seniman ini. Semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka.

Penulis tidak diketahui.

No comments: