Tuesday, May 22, 2007

Hanya Sebahagian Rakyat Malaysia Di Ambil Berat
Saya mengucapkan tahniah kepada 1.2 juta (termasuk pesara) kakitangan awam di negara ini yang telah diumumkan kenaikan penyelarasan gaji mereka berkuat kuasa Julai 2007. Kenaikan itu yang di antara 7.5% hingga 35% tentulah memberikan nafas lega kepada semua kakitangan awam yang terlibat.
Namun begitu, mari kita soroti surat pembaca yang dikutip daripada Utusan Malaysia tidak lama dulu.
Gaji sektor swasta perlukan pembelaan kerajaan
KENAIKAN gaji sektor awam yang dicadangkan CUEPACS antara 10 hingga 40 peratus untuk semua 1.2 juta kakitangan awam perlu dihalusi lagi. Perbelanjaan untuk pelarasan semula gaji amat tinggi. Kerajaan sepatutnya membelanjakan untuk kebaikan keseluruhan rakyat bukan hanya untuk sektor awam sahaja.
Jika dibandingkan di sektor awam dan swasta, sektor awam mendapat banyak kelebihan daripada kerajaan berbanding swasta, sedangkan kerajaan mesti bertanggungjawab kepada keseluruhan rakyat Malaysia. Sebagai contoh saya ingin membuat perbandingan pendapatan peringkat rendah antara sektor awam dan swasta. Bagi sektor awam gaji minimum sekarang ialah lebih kurang RM600 dan dicampur elaun akan menjadi RM1,000 lebih.
Jika dibandingkan sektor swasta terutama kilang pula, gaji minimum yang diterima oleh pekerja biasa (operator pengeluaran) adalah RM250 hingga RM400 mengikut negeri. Jika dicampur dengan elaun-elaun lain mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM300 hingga RM500 sahaja. Maka kita dapat membandingkan perbezaan pendapatan antara kedua-dua sektor.
Sekiranya kerajaan meluluskan kenaikan gaji bagi sektor awam, akan berlaku jurang perbezaan pendapatan bagi rakyat berpendapatan rendah antara kedua-dua sektor yang tidak seimbang. Kerajaan perlu melihat kesusahan yang dialami pekerja bawahan sektor swasta juga, ini kerana mereka juga rakyat Malaysia. Bukan mereka tidak mahu berkhidmat dengan sektor awam, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
Jika kita lihat dari segi yang lain pula, contohnya pinjaman perumahan, sektor awam boleh meminjam daripada kerajaan dengan hanya membayar kadar faedah empat peratus berbanding swasta enam hingga lapan peratus mengikut BLR. Oleh itu saya cadangkan kerajaan perlu bersikap lebih adil dalam membuat keputusan supaya nasib rakyat terbela dan sama rata.
– OPERATOR KILANG, Pulau Pinang.
Selain daripada sektor kerajaan, rakyat di negara ini turut bekerja di bidang swasta (dalam pelbagai bidang) dan sektor pertanian. Selalu di perhatikan, setiap kali Belanjawan Tahunan, hanya sektor kerajaan mendapat pembelaan sebaliknya rakyat yang berada di luar lingkungan tersebut terus di anaktirikan dengan alasan mereka tidak tertakluk di dalam tanggungan kerajaan.
Jika benar mereka berada di luar tanggungjawab kerajaan;
1. Mengapa mereka di berikan kad pengenalan yang sama dengan kakitangan awam?
2. Mengapa mereka di minta membayar pelbagai cukai yang sama dengan kakitangan awam?
Seharusnya kerajaan mengambil inisiatif untuk memandu arah para majikan tentang nasib pekerja bukan kerajaan. Syarikat-syarikat ini memang diberikan hak sepenuhnya untuk menggerakkan syarikat masing-masing, tetapi mereka tentu masih tertakluk kepada syarat dan kuasa kerajaan. Ya, sesetengah pekerja (mungkin pemilik atau pegawai kanan) swasta bergaji besar, tetapi itu hanya sebahagian kecil mereka. Sebahagian besar daripada mereka masih bergaji kecil dan sederhana yang mana cukup-cukup makan saja!
Ada juga syarikat yang tidak berperanan dalam mengambil tahu aspek kesihatan pekerja. Contohnya ada syarikat yang hanya menanggung kesihatan pekerja dalam semua hal kecuali dalam hal mengandung dan melahirkan. Sudahnya seseorang pekerja wanita terpaksa berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan untuk mengandung. Hanya syarikat-syarikat besar saja (yang tidak banyak bilangannya) ada mengambil kira faktor ini.
Syarikat swasta harus digalakkan untuk mengambil kira kepentingan dan kebajikan pekerja mereka daripada hanya menekan tenaga mereka untuk bekerja dan mengetepikan aspek manusiawi. Dan siapakah yang seharusnya mengambil peranan itu?
InsyaAllah DMPP berpandangan swasta harus digalakkan dengan pemberian insentif tertentu bagi memberikan sedikit keselesaan kepada sebahagian rakyat yang terus dipinggirkan ini.
Hannah Hj Ahmad
LPHEL DMPP

Monday, May 14, 2007

Raja Nazrin sebagai teladan

Sejak saya kecil lagi nama Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak diminati. Bukan saja kerana paras rupanya yang menambat hati, tetapi oleh kerana intelektual beliau yang dikira mendahului putera/i raja yang lain. Saya kira tidak ramai putera/i tanahair yang memiliki pendidikan tinggi sebagaimana dimiliki beliau.

Minggu lepas berita baginda akan berkahwin telah menguasai media arus perdana negara ini. Manakan tidak, diusia 50 tahun beliau adalah anak teruna diraja yang paling lama membujang. Saya juga tidak ketinggalan mengikuti cerita beliau dari hari ke hari (sejak kecil), memang sangat teruja untuk mengetahui siapakah pilihan beliau. Memang tepat pilihan beliau, bakal Raja Puan Besar bukan sahaja cantik, malah bijak seperti beliau.

Apa yang lebih menarik ialah penolakan beliau terhadap penggunaan kewangan kerajaan negeri untuk membiayai perkahwinan baginda. Secara tidak langsung, baginda telah memberikan isyarat supaya semua rakyat turut sama sayang kepada harta dan wang rakyat, tidak dibazirkan sesuka hati. Adakah yang terasa? Harap-harapnya begitulah.

Namun begitu, apa yang lebih saya harapkan ialah selepas bergelar isteri Raja Nazrin, saya doakan agar Raja Puan Besar yang baru dinikahi baginda dan ditabalkan dapat hidayah untuk memakai tudung sebagaimana Permaisuri Agung dan Tengku Puan Pahang. Itulah harapan dan doa saya selain melihat rumahtangga baginda kekal aman dan dikurniakan anak-anak soleh dan solehah.

Tuesday, May 08, 2007

Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat - Semua dijemput

Sebagaimana lazimnya, Dewan Muslimat PAS Pusat akan mengadakan muktamarnya pada 31hb Mei 2007 bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu Kelantan. Ia diadakan sejajar dengan peruntukan perlembagaannya yang dijadualkan berlangsung secara tahunan.

Menurut Setiausahanya, muktamar kali ini akan menyaksikan perwakilan daripada seluruh negara membawa gagasan bagi memenangi pilihanraya umum akan datang. "Ini kerana muktamar kali ini dijangka adalah yang terakhir diadakan sebelum pilihanraya umum akan datang," ujarnya.

Tambahan lagi, beliau menyeru seluruh perwakilan agar bersifat matang dan lebih bersedia bagi memberikan lontaran idea yang memberangsangkan buat muhasabah perjalanan parti. "Lebih-lebih lagi perwakilan perlu matang, memahami kehendak ummah dan jamaah, mengenalpasti kredibiliti pemimpin dan jujur dalam memilih barisan kepimpinan," jelasnya.

Sejurus selepas muktamar DMPP, muktamar penuh akan berlangsung selama 3 hari bermula 1hb Jun 2007 di Putik, Kelantan. Semua rakyat dijemput hadir.

Hannah bt Hj Ahmad
LPHEL DMPP
Garis Panduan Berpakaian - Hanya Sembang!

Pada konsert Akademi Fantasia minggu lalu, seorang artis wanita tanahair menyebutkan kepada satu-satunya pelajar wanita bertudung sebagai, "walaupun you bertudung, tapi you rock!". Ungkapan beliau telah disambut kegirangan sebahagian peminat tetapi mendapat reaksi berbeza masyarakat Malaysia yang rata-rata masih menghargai aspek kesopanan wanita bertudung.

Mengapa bertudung? Tatkala arahan bertudung disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sebaik mendapat wahyu daripada Allah s.w.t, seluruh wanita Islam tatkala itu lekas mencari apa juga kain untuk menutupi bahagian aurat mereka. Itu berlaku hanya selepas beberapa minit arahan tersebut dikeluarkan.

Islam telah mengetengahkan konsep kehormatan kepada wanita apabila menurunkan arahan bertudung kepada seluruh wanita Islam. Dengan bertudung, ia akan membezakan wanita Islam dengan bukan Islam. Lebih jauh daripada itu, ia melindungi kaum wanita daripada pandangan orang-orang yang mungkin berniat jahat. Selain itu, imej bertudung mampu menjaga keperibadian seseorang muslimah dengan rasa malu untuk membuat sesuatu yang mungkin akan menjejaskan keperibadiannya.

Umum telah mengetahui garis panduan berpakaian untuk artis semasa persembahan. Menurut Datuk Dr Mashitah bt Ibrahim, garis panduan itu masih tidak dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat artis. Kita pun tidak pasti mengapa hanya semalam isu ini dibangkitkan sedangkan garis panduan itu telahpun berumur 2 tahun!

Mana-mana pihak pun sebenarnya tidak dapat mengatasi Kerajaan Kelantan dalam penguatkuasaan dan penegasan terhadap penjagaan akhlak dan berpakaian. Kerajaan Kelantan sentiasa mendahului. Malah undang-undangnya pun menyeluruh, bukan sahaja menyentuh kalangan artis. Penguatkuasaan dan ketegasan ini begitu kuat sehingga seseorang yang berpakaian tidak senonoh boleh didenda dengan kadar yang tertentu.

Itulah tegasnya sebuah kerajaan yang mementingkan ketinggian moral, keperibadian dan akhlak rakyatnya. Kerajaan Persekutuan? Tanyalah Datuk Dr Mashitah!

Hannah bt Ahmad
LPHEL DMPP