Thursday, October 19, 2006

Terima kasih Pak Lah?
Oleh: Hannah LPHEL

Barangkali ketika ini hati yang paling gembira tentulah para isteri dan anak-anak serta kaum keluarga mangsa ISA yang baru dibebaskan semalam. Seluruh umat yang mendoakan turut sama merasa syukur dan gembira buat mangsa dan keluarga. Kezaliman terhadap mereka selama hampir 5 tahun berakhir sudah, meskipun selepas dibebaskan mereka tetap perlu melaporkan diri di balai polis setiap minggu.

Di antara mangsa yang dibebaskan itu termasuklah anakanda Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Ternyata, kesabaran beliau tanpa perlu mengorbankan prinsip perjuangan dan agama dibalas dengan pembebasan ini, dan ia berlaku pada bulan yang mulia Ramadhan. Nik Adli tiba di perkarangan rumahnya sejam sebelum berbuka. Alhamdulillah tentu semalam hari paling indah buat beliau dan keluarga.

Kita diberitahu bahawa Perdana Menteri adalah orang yang bertanggungjawab menandatangani surat pembebasan tahanan tersebut. Di sini membuatkan rasa keliru yang amat. Perlukah berterima kasih atas pembebasan? Jika perlu mengapa?

Sehingga saat ini tiada pendakwaan pernah dibuat ke atas Nik Adli dan rakan-rakan. Bawa ke mahkamah pun tidak pernah. Apa yang pernah berlaku adalah penambahan demi penambahan masa tahanan sehingga 5 tahun akhirnya! Apakah ini adil? Menahan seseorang tanpa bicara dan sehingga akhir pun tiada apa-apa!

Mungkin bagi PM ini perkara kecil baginya. Tapi kezaliman yang beliau lakukan tentu akan terpahat di sanubari mangsa dan keluarga, juga seluruh umat yang menyaksikan sandiwara ini. 5 tahun tanpa ayah, 5 tahun tanpa suami, pernahkah sesiapa fikirkan penderitaan mereka. Malahan media memencilkan isu ini kerana lebih mengagungkan kehidupan para artis.

Namun selagi adanya ISA di dalam kanun negara, selagi itu perjuangan menuntut pemansuhannya tidak akan berakhir.

Thursday, October 12, 2006

Dari Harakah: Anggaplah Ramadan ini yang terakhir untuk lakukan ibadat, kata Dr Lo' Lo'


Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali mengingatkan umat Islam terutama muslimat supaya menghidupkan malam 10 terakhir Ramadan seolah-olah tidak akan bertemu dengan Ramadan akan datang.

Malangnya, menurut beliau, 10 terakhir Ramadan itulah umat Islam terutama muslimat mula sibuk untuk membuat persediaan hari raya seperti menjahit baju baru dan membikin kuih.

"Saya harap persediaan hari raya itu perlu dibuat lebih awal supaya tidak menganggu penumpuan kita terhadap malam 10 hari terakhir Ramadan," katanya.

Beliau berkata, malam 10 terakhir itulah berkemungkinan akan bertemu dengan Lailatulqadar dan sepatutnya umat Islam perlu berlumba-lumba untuk menerima tawaran tersebut.

"Ramadan ibarat datangnya dinanti perginya ditangisi jadi apa yang telah kita lakukan sepanjang sebulan berpuasa, setiap tahun mesti ada perubahan dari segi amal ibadat," katanya.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, satu sunnah yang perlu dilakukan ialah iktikaf di masjid di mana perkara itu kurang dilaksanakan kerana banyak masjid dikunci atas keselamatan.

Berhubung dengan solat tarawih katanya, menjelang 10 malam terakhir Ramadan banyak masjid dan surau yang sudah kurang jemaah tidak seperti pada awal Ramadan.

"Sama-samalah kita meraikan malam terakhir dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadat dan buatlah persediaan ala kadar untuk hari raya kerana kita tidak tahu apakah kita akan bertemu di Ramadan akan datang," katanya. - lanh

Wednesday, October 04, 2006




Iftar Raayat bukti kesungguhan Muslimat mendekati rakyat

Dengan kerjasama pelbagai pihak, DMPP akan mengadakan majlis perdana Iftar Raayat pada 14hb Oktober 2006 bermula jam 2 petang hingga 12 tghmalam. Majlis itu akan diadakan di kawasan penempatan setinggan dalam daerah Ampang.

Menurut Timbalan ketua DMPP yang juga merupakan Pengarah Program, Dr Lo'Lo Hj Ghazali, program itu adalah salah satu lagi bukti kesungguhan Muslimat mendekati rakyat terutama di dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. "Ia juga sekaligus diharap dapat mengeratkan silaturrahim kerana umpamanya kita berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan ini," jelas beliau.


Sehubungan dengan itu, semua pihak samada jauh mahupun dekat dijemput hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Antara program menarik yang diatur ialah penyampaian cenderahati, majlis berbuka puasa beramai-ramai (iftar), solat berjamaah terawih, sesi tazkirah dan jamuan morey di akhir program. Sumbangan pelbagai golongan juga sangat dialu-alukan.